Korea Utara lancar peluru berpandu, cetus amaran kecemasan di Jepun

Korea Utara lancar peluru berpandu, cetus amaran kecemasan di Jepun

Pihak berkuasa Jepun kemudian menarik balik amaran itu selepas ia tidak jatuh di wilayah Jepun.

Sistem amaran kecemasan J-Alert Jepun dilaporkan membuat ramalan yang salah bahawa peluru berpandu balistik Korea Utara akan mendarat berhampiran Hokkaido. (Gambar AP)
SEOUL:
Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak sederhana atau jauh, hari ini, menurut Korea Selatan dan Jepun, sehingga mendorong amaran dikeluarkan kepada penduduk di Hokkaido di utara Jepun supaya berlindung.

Pihak berkuasa Jepun kemudian menarik balik amaran itu, sambil menjelaskan sistem amaran kecemasan telah melakukan jangkaan silap bahawa peluru berpandu berkenaan akan mengenai kawasan berhampiran pulau terbabit.

Pengawal Pantai Jepun memaklumkan bahawa projektil itu jatuh ke dalam laut di timur Korea Utara. Bagaimanapun, Hamada tidak dapat mengesahkan sama ada peluru berpandu itu terbang melintasi Zon Ekonomi Eksklusif Jepun.

Pelancaran peluru berpandu itu menyusul beberapa hari selepas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, menggesa tindakan pengukuhan pencegahan perang dengan cara ‘lebih praktikal dan ofensif’ dalam langkah Pyongyang menangani apa yang dikatakan sebagai pencerobohan oleh Amerika Syarikat (AS).

Peluru berpandu terbabit dilancarkan pada jam 7.23 pagi tadi, kata Ketua Turus Bersama Korea Selatan.

Menurut Tentera Korea Selatan, pihaknya berada dalam keadaan berjaga-jaga tahap tinggi dan sedang berkoordinasi rapat dengan AS.

Ketegangan semakin memuncak susulan Korea Utara mengecam siri latihan ketenteraan bersama yang dijalankan AS dengan Korea Selatan, baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.