
Trump membuat ikrar itu semalam, selain turut menyatakan Presiden Joe Biden tidak layak untuk bertanding sekali lagi.
Tokoh hartanah berusia 76 tahun daripada Parti Republikan itu berdepan 34 pertuduhan di New York membabitkan wang yang dibayar kepada seorang pelakon filem lucah.
Beliau berkata, tiada apa yang boleh menghalangnya daripada bertanding walaupun berdepan sabitan.
“Saya tidak pernah tarik diri, ia bukan kebiasaan saya dan tidak akan melakukannya,” katanya dalam wawancara pertamanya selepas didakwa mempersoalkan kebolehan Biden, 80, untuk bertanding pada 2024.
“Saya tidak nampak bagaimana ia mungkin, ini bukan soal usia dan saya rasa beliau tidak boleh.
“Saya tidak nampak Biden melakukannya dari sudut fizikal atau mental. Saya tidak nampak,” katanya.
Trump dan ahli Republikan kanan lain berulang kali meletakkan keraguan terhadap keupayaan mental dan fizikal Biden.
Sebelum ini, Trump mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah di Manhattan atas 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan.
Ia berkait dakwaan beliau mendalangi pemberian wang sogokan kepada dua wanita membabitkan pelakon lucah, Stormy Daniels serta bekas model Playboy, Karen McDougal, sebelum pilihan raya AS pada 2016 untuk menyekat penerbitan mengenai hubungan seksual mereka dengannya.
Ia adalah detik bersejarah yang menyaksikan Trump muncul sebagai bekas Presiden AS yang pertama berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah.
Pendakwa raya menuduh Trump memalsukan rekod perniagaan bagi menyembunyikan pelanggaran undang-undang pilihan raya ketika berkempen pada 2016.