Sekurang-kurangnya 25 maut akibat puting beliung di Mississippi

Sekurang-kurangnya 25 maut akibat puting beliung di Mississippi

Kejadian lewat Jumaat itu turut menyebabkan berpuluh-puluh lagi cedera.

Puting beliung yang melanda Mississippi pada Jumaat menyebabkan sekurang-kurangnya 25 orang maut, menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Mississippi. (Gambar AP)
ANKARA:
Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam kejadian puting beliung di Mississippi, Amerika Syarikat pada lewat Jumaat.

Sementara itu, empat lagi hilang, lapor Agensi Anadolu memetik kemas kini Agensi Pengurusan Kecemasan Mississippi menerusi Twitter pada Sabtu.

“Pelbagai agensi dan rakan kongsi negeri bekerjasama membantu dalam misi bantuan,” menurut agensi itu.

Agensi itu turut memberi amaran mengenai kemungkinan ribut yang lebih kuat serta angin kencang diramal melanda di daerah-daerah di seluruh Mississippi pada petang Ahad.

Gabenor Tate Reeves turut mengisytiharkan darurat di daerah yang dilanda ribut.

“Kami akan memanfaatkan segala sumber yang ada untuk membantu. Kami akan berada di sini untuk tempoh masa yang panjang,” ciap Reeves di Twitter.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menulis di Twitter: “Jill dan saya berdoa untuk mereka yang kehilangan orang tersayang dalam puting beliung yang dahsyat di Mississippi.”

“Kami akan melakukan segala yang kami mampu untuk membantu. Kami akan bekerjasama untuk memberi sokongan kepada anda selama mana yang diperlukan,” tambah Biden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.