Polis tembak mati lelaki selepas bunuh 3 mangsa

Polis tembak mati lelaki selepas bunuh 3 mangsa

Lelaki itu diburu selepas menembak mati tiga mangsa termasuk dua pelajar universiti berusia 22 tahun.

Lelaki berusia 29 tahun itu mati ditembak mati oleh polis selepas dia melepaskan tembakan yang membunuh tiga mangsa di wilayah Phetchaburi. (Gambar AP)
BANGKOK:
Polis Thailand menembak mati seorang lelaki selepas suspek melepaskan tembakan menyebabkan tiga orang terbunuh manakala tiga yang lain cedera termasuk seorang pegawai polis, di wilayah Phetchaburi.

Lelaki berusia 29 tahun itu mati ditembak di rumahnya kira-kira 4 pagi (waktu tempatan).

Panglima Polis Wilayah 7, Thanayut Wutcharatthamrong berkata polis mengepung rumah suspek sejak 3 petang (waktu tempatan) pada Rabu.

“Polis cuba memujuknya untuk menyerah diri termasuk membawa ibunya, namun tidak diendahkan sebaliknya suspek melawan dan melepaskan tembakan.

“Polis kemudian menyerbu rumah itu dan mengepung lelaki itu yang lari ke bilik di tingkat dua,” katanya kepada pemberita.

Thanayut berkata tiga mangsa yang maut terdiri dua penuntut universiti berusia 22 tahun dan seorang penghantar barang berusia 27 tahun, manakala tiga lagi cedera termasuk seorang pegawai operasi khas dan seorang ketua di kawasan kejiranan itu yang turut membantu berunding dan memujuk suspek.

Suspek pernah bertugas sebagai renjer taman negara dan menjalani tempoh percubaan selama enam bulan.

Insiden pada Rabu itu mengimbau semula kejadian pada Okt tahun lepas apabila seorang sarjan polis yang dipecat kerana kesalahan dadah, melepaskan tembakan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lam Phu, menyebabkan 36 orang termasuk 24 kanak-kanak terbunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.