Kritik serangan teater, wartawan Rusia dipenjara 6 tahun

Kritik serangan teater, wartawan Rusia dipenjara 6 tahun

Lokasi itu dijadikan tempat perlindungan orang awam ketika Rusia menyerang bandar berkenaan.

Teater Drama Akademik Wilayah Donetsk di Mariupol musnah dalam serangan udara tahun lalu. (Gambar AP)
MOSCOW:
Seorang wartawan Rusia dipenjara enam tahun kerana menuduh tentera udara Rusia mengebom sebuah teater di Mariupol, Ukraine, di mana mangsa wanita dan kanak-kanak berlindung pada April tahun lalu.

Mahkamah daerah Lenin di Barnaul, Siberia turut melarang wartawan RusNews Maria Ponomarenko bertugas selama lima tahun, menurut kenyataan mahkamah.

“Patriotisme adalah rasa cinta untuk tanah air, dan rasa cinta untuk tanah air tidak patut ditonjolkan dengan menggalak perbuatan jenayah,” kata Ponomarenko sebelum dijatuhi hukuman.

“Menyerang jiran sendiri adalah satu jenayah.”

Teater Drama Akademik Wilayah Donetsk di Mariupol musnah dalam serangan udara pada awal pagi 16 Mac tahun lalu.

Lokasi itu dijadikan tempat perlindungan orang awam ketika Rusia menyerang bandar berkenaan. Pihak berkuasa Ukraine berkata sekurang-kurangnya 300 orang maut di teater itu.

Kyiv menuduh Rusia mengebom teater berkenaan, manakala Moscow mendakwa ia perbuatan pejuang Ukraine.

Ponomarenko ditahan pada April kerana kenyataannya dalam talian, mengikut undang-undang yang diluluskan tidak lama selepas Presiden Vladimir Putin mengarahkan tenteranya menyerang Ukraine.

Siasatan Amnesty International menyimpulkan tentera Rusia melakukan jenayah perang dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.