Parlimen Korea Selatan pecat menteri susulan tragedi rempuhan Itaewon

Parlimen Korea Selatan pecat menteri susulan tragedi rempuhan Itaewon

Ia menjadikannya anggota Kabinet pertama negara itu yang digulingkan oleh badan perundangan.

59 orang maut apabila orang bersuka ria membanjiri lorong sempit di Itaewon untuk sambutan Halloween. (Gambar AP)
SEOUL:
Ahli Parlimen Korea Selatan hari ini mengundi untuk menyingkirkan menteri dalam negeri berhubung tindak balasnya terhadap insiden rempuhan Halloween.

Ia menjadikannya anggota Kabinet pertama negara itu yang digulingkan oleh badan perundangan.

Usul pemecatan itu diluluskan dengan margin 179-109 dalam undian rahsia di dewan tunggal 300 ahli, di mana parti pembangkang utama Parti Demokrat memegang majoriti 169 kerusi.

Sokongan sekurang-kurangnya 150 ahli dewan diperlukan untuk meluluskannya.

Jawatankuasa keadilan Parlimen akan menyemak usul itu sebelum menghantarnya ke Mahkamah Perlembagaan, yang akan memutuskan sama ada untuk mengekalkan pemecatan itu, satu proses yang boleh mengambil masa sehingga enam bulan.

Parti Demokrat dan parti pembangkang lain telah mendesak untuk memecat menteri dalam negeri, Lee Sang-min, menggesa beliau untuk bertanggungjawab atas tindak balas yang gagal terhadap insiden itu.

Insiden 29 Okt tahun lalu mengorbankan 159 orang dan mencederakan 196 yang lain apabila orang ramai membanjiri lorong-lorong sempit di daerah hiburan malam yang popular di Itaewon untuk menikmati perayaan Halloween.

Lee dan polis telah menghadapi kritikan berhubung pengendalian tragedi itu, terutamanya selepas transkrip panggilan kecemasan yang dikeluarkan secara terbuka menunjukkan bahawa ramai rakyat memberi amaran tentang bahaya yang akan berlaku dan meminta bantuan beberapa jam sebelum rempuhan.

Presiden Yoon Suk-yeol telah menolak tuntutan pembangkang untuk memecat Sang-min, dan pejabat dan parti pemerintahnya mengecam Demokrat kerana menyalahgunakan kuasa majoriti mereka untuk meneruskan pemecatan itu.

“Ia adalah penolakan terhadap demokrasi berparlimen. Ia akan direkodkan sebagai sejarah memalukan dalam politik Parlimen,” kata pejabat Suk-yeol dalam satu kenyataan selepas usul itu diluluskan.

Ketegangan memuncak antara keluarga mangsa rempuhan dan kerajaan Seoul minggu ini selepas mereka mendirikan tugu peringatan tanpa kebenaran di hadapan dewan bandar raya.

Pegawai bandar raya semalam berkata, tugu peringatan itu melanggar peraturan dan mengarahkan pengalihannya dalam masa seminggu.

Pada 2017, presiden ketika itu Park Geun-hye menjadi pemimpin pertama Korea Selatan yang dipilih untuk dipecat daripada jawatan apabila mahkamah perlembagaan mengekalkan pemecatannya.

Mahkamah menolak usul pemecatan pada 2014 untuk bekas presiden Roh Moo-hyun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.