Gempa bumi: Bayi masih bertali pusat dijumpai selamat dalam runtuhan di utara Syria

Gempa bumi: Bayi masih bertali pusat dijumpai selamat dalam runtuhan di utara Syria

Bayi itu adalah satu-satunya yang terselamat dalam keluarganya, sementara yang lain terbunuh susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda pada Isnin.

Bayi baru lahir yang dijumpai bawah runtuhan rumah keluarganya di Syria dalam keadaan stabil di hospital, menurut pakar kanak-kanak. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Seorang bayi yang dipercayai baru dilahirkan dilaporkan selamat dalam runtuhan di utara Syria berikutan gempa bumi besar yang menjejaskan negara itu dan Turki pada Isnin.

Tali pusat bayi perempuan itu masih melekat pada ibunya ketika dia dijumpai saudara maranya yang terdengar suara tangisan bayi dari bawah runtuhan.

Menurut seorang saudaranya Khalil al-Suwadi, ahli keluarga bayi berkenaan yang lain terbunuh susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda pada awal pagi Isnin, meranapkan rumah keluarganya di bandar Jindayris.

“Kami mendengar suara semasa kami menggali. Kami bersihkan habuk dan dapati bayi dalam keadaan bertali pusat. Jadi kami memotongnya dan sepupu saya membawanya ke hospital,” katanya, lapor AFP.

Bayi itu kini menerima rawatan di hospital kanak-kanak di bandar Afrin, di mana seorang pakar, Hani Maarouf memaklumkan bahawa dia stabil tetapi mempunyai lebam dan luka di badannya, serta mengalami hipotermia.

Sekurang-kurangnya 1,832 orang diketahui telah terkorban di Syria, di mana kemusnahan mengejut itu juga menambah trauma dan penderitaan bagi warganya yang masih bergelut dengan kesan perang saudara selama sedekad.

Usaha masih dijalankan untuk menyelamatkan mangsa daripada runtuhan di kawasan terjejas, namun ia menjadi sukar dengan keadaan cuaca sejuk, jalan terhalang, infrastruktur rosak serta berlakunya beberapa gegaran susulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.