Biden gesa kongres segera lulus larangan guna senjata api

Biden gesa kongres segera lulus larangan guna senjata api

Presiden Amerika Syarikat itu mahu mengekang 'senjata api berbahaya daripada dimiliki orang berbahaya'.

Kejadian tembakan di Colorado Springs, Monterey Park dan Half Moon Bay menjadikan Presiden AS, Joe Biden, terus mengenakan tekanan supaya Kongres meluluskan undang-undang larangan senjata api berbahaya.
WASHINGTON:
Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, berkata Kongres mesti meluluskan undang-undang baharu mengenai larangan penggunaan senjata api berbahaya berikutan insiden tembakan, baru-baru ini, termasuk di Monterey Park, California, lapor Sputnik.

“Hari ini, Senator (Dianne) Feinstein…sekali lagi mengesyorkan ‘Assault Weapons’ and ‘High-Capacity Magazine Ban’ di Senat serta undang-undang yang menaikkan had umur untuk membelinya kepada 21 tahun.

“Saya menggesa kedua-dua dewan di Kongres untuk bertindak segera dan secepat mungkin kemukakannya kepada saya,” kata Biden dalam kenyataan, pada Isnin.

Ketika menandatangani ‘Bipartisan Safer Communities Act’ pada musim panas lalu, Biden berkata, masih ada perkara yang perlu dilakukan untuk menjauhkan senjata api berbahaya daripada dimiliki orang berbahaya.

“Dalam masa yang singkat sahaja masyarakat di seluruh Amerika telah dilanda tragedi demi tragedi, termasuk kejadian tembakan besar-besaran di Colorado Springs dan Monterey Park…,” katanya.

Pada Sabtu, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah kelab tarian di Monterey Park yang mengorbankan 11 nyawa serta mencederakan sembilan yang lain.

Sementara itu, polis di Half Moon Bay, California, di selatan San Francisco berkata seorang suspek ditahan susulan laporan empat ditemukan maut dalam dua kejadian tembakan pada Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.