
Menurut kumpulan hak asasi yang berpangkalan di New York itu, Marcos Jr berjanji untuk mengalihkan tumpuan daripada membanteras dadah kepada memulihkan penagih.
Namun pembunuhan masih berterusan dan pembaharuan bagi program pemulihan dadah sedia ada belum dibuat, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik kenyataan kumpulan itu.
“Presiden Marcos memberitahu pemimpin asing bahawa beliau bersedia untuk memperbaiki keadaan hak asasi manusia di Filipina, namun ini tidak akan berjaya selagi polis membunuh suspek dadah tanpa hukuman.
“Marcos mempunyai peluang keemasan untuk membuktikan bahawa beliau serius terhadap hak asasi manusia dengan mengarahkan penamatan perang ke atas dadah,” kata timbalan pengarah kumpulan itu bagi Asia, Phil Robertson.
Polis melaporkan 46 suspek terbunuh dalam operasi antidadah haram sejak 1 Julai, sehari selepas Marcos Jr mengangkat sumpah, hingga 7 Nov.
Pengiraan oleh Pusat Pengajian Dunia Ketiga Universiti Filipina menunjukan 127 mati dalam tempoh yang sama.
Perang terhadap dadah dilancarkan oleh bekas presiden Rodrigo Duterte selepas beliau dipilih sebagai presiden pada 2016.
Polis berkata lebih 6,000 orang terbunuh dalam operasi antidadah haram semasa pentadbiran Duterte. Kumpulan hak asasi manusia mendakwa jumlah kematian mungkin tiga kali lebih tinggi daripada jumlah itu.