Perancis naik umur persaraan kepada 64 tahun menjelang 2030

Perancis naik umur persaraan kepada 64 tahun menjelang 2030

Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne juga berkata mulai 2027, bakal pesara boleh menerima pencen penuh jika mereka mencarum selama 43 tahun.

Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne berkata objektif kerajaan adalah untuk “mengimbangkan sistem pencen pada 2030.” (Gambar AP)
PARIS:
Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne pada Selasa membentangkan pelan pembaharuan pencen negara, dengan menaikkan umur persaraan kepada 64 tahun secara berperingkat dan mencadangkan pencen minimum untuk semua pesara, lapor Xinhua.

Bercakap pada sidang media, Borne mengumumkan bahawa Perancis merancang untuk menaikkan umur persaraan daripada 62 tahun kepada 64 tahun menjelang 2030 pada kadar progresif tiga bulan setahun mulai 1 September.

Selain itu, beliau menambah bahawa mulai 2027, bakal pesara boleh menerima pencen penuh jika mereka mencarum selama 43 tahun.

Borne menegaskan bahawa pelan pembaharuan pencen semasa akan membolehkan orang ramai mempunyai pencen minimum sebanyak 1,200 euro (kira-kira US$1,288) sebulan.

“Pekerja dan mereka yang bekerja sendiri… yang telah menyumbang sepanjang hayat mereka dengan pendapatan sekitar SMIC (gaji minimum bulanan Perancis) kini akan memperoleh pencen 85 peratus daripada SMIC bersih,” katanya.

Bercakap kepada saluran TV Perancis France 2, Borne menjelaskan bahawa objektif kerajaan adalah untuk “mengimbangkan sistem pencen pada 2030.”

“Kami menjalankan beberapa perundingan, kami mendengar dan kami melihat bahawa ada cara lain untuk mencapai objektif keseimbangan ini pada 2030,” katanya.

Rancangan awal kerajaan adalah untuk menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.