
Pertempuran itu tercetus selepas pihak berkuasa melancarkan operasi untuk menahan Ovidio Guzman, anak lelaki raja dadah Mexico, Joaquin “El Chapo” Guzman yang kini menjalani hukuman penjara.
Penahanan Ovidio Guzman pada Khamis menyebabkan 19 penyerang dan 10 tentera maut, manakala 35 yang lain cedera, kata Sandoval pada sidang akhbar, lapor Xinhua.
Tentera Darat dan Tentera Pengawal Kebangsaan mengetuai operasi untuk menahan Ovidio, yang juga ketua kartel dadah Sinaloa yang mencetuskan pertempuran bersenjata di daerah Jesus Maria di bandar Culiacan.
Menurut Menteri Dalam Negeri Adan Augusto Lopez, Ovidio ditahan kerana pelbagai jenayah termasuk memiliki senjata secara haram dan cubaan membunuh.
Sementara itu, Menteri Luar Marcelo Ebrard mengesahkan bahawa pada September 2019, Amerika Syarikat mengemukakan permohonan agar Ovidio diekstradisi.
Beliau berkata, proses itu mungkin mengambil masa beberapa minggu.
Mengikut undang-undang Mexico, pihak berkuasa AS perlu menyerahkan bukti yang mereka ada kepada hakim Mexico sebelum hakim memutuskan sama ada untuk meneruskan permohonan ekstradisi, kata Presiden Andres Manuel Lopez Obrador.
Ovidio berdepan tuduhan bersubahat untuk mengedar kokain, metamfetamin dan ganja di AS, menurut laporan media.