Korban banjir di Filipina meningkat 25 orang

Korban banjir di Filipina meningkat 25 orang

Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan memberitahu 26 orang masih hilang manakala sembilan lagi dilaporkan cedera.

Hujan lebat yang dicetuskan oleh fenomena cuaca shearline menyebabkan banjir besar di selatan Filipina dan beberapa wilayah di negara itu. (Gambar AP)
MANILA:
Angka kematian akibat banjir dan hujan lebat dicetuskan oleh fenomena cuaca shearline di Filipina meningkat kepada 25 orang pada Rabu.

Menurut Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan dalam laporan terbaharunya mendedahkan bahawa 26 orang masih hilang manakala sembilan lagi dilaporkan cedera.

Sebanyak 18 kematian direkodkan di selatan Filipina, lima di wilayah Bicol di pulau utama Luzon, manakala dua lagi di tengah Filipina, lapor Xinhua memetik laporan itu.

Agensi itu memaklumkan 12 orang masih hilang di wilayah Bicol, 11 di tengah Filipina, dan tiga di selatan Filipina.

Kejadian banjir turut menjejaskan lebih 390,000 orang di sembilan wilayah di seluruh negara serta merosakkan kediaman, tanaman, jalan raya dan jambatan.

Filipina adalah antara negara yang paling terdedah kepada bencana alam kerana lokasinya terletak di Lingkaran Api Pasifik dan Lingkaran Taufan Pasifik. Secara purata, 20 taufan membadai kepulauan itu setiap tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.