Pelajar wanita himpun, bantah tak dibenar masuk universiti

Pelajar wanita himpun, bantah tak dibenar masuk universiti

Puluhan wanita berhimpun di luar Universiti Kabul dalam protes besar-besaran pertama di ibu negara itu sejak larangan untuk pelajar perempuan melanjutkan pelajaran.

Wanita Afghanistan berhimpun di luar Universiti Kabul membantah larangan melanjutkan pelajaran dikenakan terhadap golongan itu. (Gambar AP)
KABUL:
Puluhan wanita berhimpun di luar Universiti Kabul hari ini dalam protes besar-besaran pertama di ibu negara itu sejak Taliban memutuskan melarang pelajar perempuan melanjutkan pelajaran.

Pelajar universiti perempuan dilarang memasuki kampus sehari sebelumnya, selepas pentadbiran Taliban mengumumkan pada Selasa bahawa kaum hawa dilarang melanjutkan pelajaran peringkat tertier.

Menurut saksi, kira-kira 50 penunjuk perasaan – kebanyakannya wanita – berhimpun dengan membawa kain rentang dan melaungkan: “Pendidikan hak kami, universiti mesti dibuka”.

Taliban sebelum ini telah dikritik termasuk oleh negara lain kerana tidak membuka sekolah menengah perempuan pada awal penggal persekolahan, Mac lalu.

Bantahan terhadap sekatan Taliban dalam pendidikan wanita menjejaskan usaha pentadbirannya untuk menerima pengiktirafan dan menamatkan sekatan yang menjejaskan ekonomi Afghanistan.

Jurucakap kementerian pendidikan tinggi Afghanistan berkata, menterinya akan mengadakan sidang media untuk menghuraikan lebih lanjut mengenai larangan wanita memasuki universiti.

Semalam, pelajar di Universiti Nangahar, timur Afghanistan, turut memprotes malah pelajar perubatan lelaki keluar meninggalkan dewan peperiksaan bagi membantah larangan terhadap rakan wanita mereka.

“Pelajar wanita datang meminta pelajar lelaki turut tidak mengambil peperiksaan,” kata Zia, 25, pelajar perubatan lelaki di universiti berkenaan.

“Pelajar lelaki kemudian tekad keluar dari dewan peperiksaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.