
Bulent Kenes, wartawan yang melarikan diri ke Sweden pada 2016 sebelum diberi suaka, dituduh Turki terlibat dalam rampasan kuasa itu, selain menyokong ulama Fethullah Gulen yang dikatakan dalang di sebalik cubaan rampasan kuasa itu. Gulen – yang berpangkalan di AS – dan Kenes masing-masing menafikan dakwaan berkenaan.
“Jelas dalam kes ini wujud beberapa halangan terhadap ekstradisi,” kata mahkamah itu dalam kenyataan.
Mahkamah berkata, dakwaan rampasan kuasa itu berkaitan dengan jenayah politik dan wujud risiko penganiayaan disebabkan pandangan politik Kenes.
Keputusan itu dilihat mampu menjejaskan usaha Sweden untuk menyertai Nato.
Finland dan Sweden meminta menyertai Nato pada Mei susulan serangan Rusia terhadap Ukraine, namun dibantah Turki yang menuduh dua negara itu melindungi kumpulan dianggap pengganas oleh Ankara.
Setakat ini permohonan dua negara itu disokong 28 negara lain tetapi sokongan Turki masih diperlukan.
Bulan lalu, Turki berkata Sweden dan Finland semakin hampir menganggotai Nato, tetapi masih perlu memuaskan hati Ankara dalam usaha mereka menangani kumpulan militan.