Seksa 2 remaja, polis Filipina dipenjara

Seksa 2 remaja, polis Filipina dipenjara

Jefrey Perez dipenjara seumur hidup kerana meletakkan bahan bukti pada mayat mangsa, selain hukuman penjara 20 tahun kerana menyeksanya.

Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan bilangan kematian akibat perang dadah di Filipina sebenarnya melibatkan puluhan ribu mangsa. (Gambar AP)
MANILA:
Seorang anggota polis Filipina dipenjara kerana menyeksa dua remaja yang kemudian ditemui mati, ketika kemuncak “perang dadah” bekas Presiden Rodrigo Duterte.

Dua anggota polis, Jefrey Perez dan Ricky Arquilita didapati bersalah oleh mahkamah di Manila awal bulan ini kerana menyeksa dua remaja, Reynaldo De Guzman, 14, dan Carl Arnaiz, 19, pada 2017, selain turut meletakkan senjata dan dadah pada seorang remaja berkenaan.

Dua remaja itu kemudian dibunuh anggota polis sama, namun tuduhan bunuh berkenaan ditarik balik atas sebab teknikal.

Perez dipenjara seumur hidup kerana meletakkan bahan bukti pada mangsa, selain hukuman penjara 20 tahun kerana menyeksa remaja itu, menurut penghakiman mahkamah yang dikeluarkan hari ini. Arquilita meninggal dunia ketika perbicaraan berlangsung.

Kedua-dua anggota berkenaan menafikan tuduhan terhadap mereka, malah mendakwa menembak mati Arnaiz selepas remaja itu melawan ketika mereka cuba menangkapnya.

Dua remaja itu dilihat bersama pada petang 17 Ogos 2017.

Seorang saksi mendakwa melihat sebuah kereta polis diletakkan di tepi jalan, sebelum nampak Arnaiz yang bergari keluar dan melutut atas jalan. Dia kemudian mengangkat tangannya dan menjerit “Saya akan menyerah diri” sebelum ditembak Perez.

Mayat De Guzman ditemui beberapa minggu kemudian di utara Manila dengan puluhan kesan tikaman.

Sepanjang enam tahun memerintah, Duterte secara terbuka mengarahkan polis menembak mati suspek dadah sekiranya nyawa anggota terancam.

Lebih 6,200 orang maut dalam kempen antidadah beliau, menurut angka rasmi. Namun kumpulan hak asasi manusia menganggarkan jumlah sebenarnya meliputi puluhan ribu mangsa.

Perang dadah Duterte itu dikecam meluas, malah mencetuskan siasatan antarabangsa. Bagaimanapun, hanya tiga anggota polis setakat ini telah disabitkan kerana membunuh suspek dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.