
Pemimpin berusia 42 tahun itu diminta membentuk kerajaan oleh Raja Charles, dan diharapkan mampu menamatkan perbalahan di Westminster yang selama ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur serta sekutu antarabangsa Britain.
Beliau akan membuat ucapan di Downing Street sebelum membentuk jemaah menterinya.
Sunak, antara lelaki terkaya di parlimen, berdepan pelbagai cabaran termasuk ekonomi yang meleset, selain populariti parti yang semakin merosot.
Pakar ekonomi dan pelabur rata-rata melihat pelantikan Sunak mampu meredakan pasaran, namun memberi amaran beliau bakal berdepan tempoh yang mencabar.
“Pentadbirannya memang mencabar memandangkan kemelesetan berkemungkinan besar berlaku pada 2023, selain pilihan raya umum seterusnya mungkin dalam tempoh hanya dua tahun lagi,” kata Eiko Sievert dari agensi penakrifan Scope kepada Reuters.
Sunak memberi amaran negara itu bakal berdepan krisis besar jika gagal mengatasi inflasi dan bil tenaga tinggi yang kini memaksa kebanyakan isi rumah serta perniagaan mengurangkan perbelanjaan.
Sunak, perdana menteri termuda Britain dalam tempoh 200 tahun, dan pemimpin berketurunan Asia pertama negara itu, menggantikan Liz Truss yang meletak jawatan selepas hanya 44 hari sebagai perdana menteri.
Sunak kini akan mula membentuk jemaah menterinya, dan Ahli Parlimen dari Parti Konservatif menyuarakan harapan beliau akan merangkumkan ahli politik dari pelbagai sayap parti itu.