
Apabila polis tiba pada 9.10 pagi untuk menjawab panggilan mengenai penembak aktif, para pelajar dilihat sedang melarikan diri, pesuruhjaya Mike Sack memberitahu sidang media.
Pelajar memberitahu polis bahawa seorang penembak dengan “senapang panjang” berada di dalam bangunan sekolah, katanya.
Sack berkata, polis yang masuk ke dalam bangunan kemudian berbalas tembakan dengan suspek, yang kelihatan berusia kira-kira 20 tahun, mencederakannya sehingga maut.
Seorang guru dan remaja perempuan terbunuh dalam kejadian, manakala mangsa lain cedera terkena tembakan dan serpihan peluru.
Guru yang terkorban dikenal pasti sebagai Jean Kuczka, guru kesihatan berusia 61 tahun, lapor St Louis Post-Dispatch.
Tiada anggota polis dilaporkan cedera.
Pihak berkuasa tidak mendedahkan motif atau kaitan suspek dengan sekolah itu.
Sekolah itu mempunyai tujuh pegawai keselamatan di lokasi dan pengesan logam, menurut seorang pegawai sekolah.
Kejadian tembakan itu adalah yang terbaru daripada puluhan kejadian serupa di sekolah-sekolah Amerika Syarikat yang menyebabkan kematian atau kecederaan pada tahun ini sahaja.
Antara kejadian paling berdarah berlaku pada Mei, apabila seorang penyerang bersenjata membunuh 19 kanak-kanak dan dua dewasa di Uvalde, Texas.