12 rentung bas terbakar di India

12 rentung bas terbakar di India

Menurut laporan media, bas itu terbakar selepas berlanggar dengan sebuah lori tangki diesel.

Keadaan bas yang terbakar di Nashik di negeri Maharashtra yang menyebabkan 12 penumpang maut. (Gambar Twitter)
MUMBAI:
Sekurangnya 12 rentung dan dua lagi cedera parah selepas bas yang dinaiki mereka terbakar di bandar Nashik di negeri Maharashtra, barat India, kata pegawai polis kepada Reuters.

“Lebih 30 lagi mangsa yang cedera ringan dirawat di sebuah hospital kerajaan dan siasatan mengenai kejadian itu sedang dijalankan,” kata seorang pegawai polis di Nashik yang terletak kira-kira 190 kilometer dari utara Mumbai.

Menurut laporan media, bas itu terbakar selepas berlanggar dengan sebuah lori tangki diesel.

Beberapa video dan gambar di media sosial menunjukkan keadaan bas itu yang terbakar.

“Terkejut dengan tragedi bas di Nashik. Saya bersimpati dengan keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam kejadian malang ini,” kata Perdana Menteri Narendra Modi di Twitter.

Beliau turut mengumumkan bantuan INR200,000 (RM11,248) untuk keluarga mangsa yang maut dan INR50,000 (RM2,812) untuk mangsa yang cedera.

“Moga mangsa yang cedera cepat sembuh. Pihak berkuasa tempatan menyalurkan semua bantuan yang ada kepada mereka yang terjejas,” katanya.

Ketua Menteri Maharashtra, Eknath Shinde pula mengumumkan bantuan tambahan INR500,000 (RM28,121) kepada setiap keluarga mangsa yang terbunuh dan menanggung kos rawatan mangsa yang cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.