
WASHINGTON: Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) sedang mengesan 23 pendatang, selepas kapal mereka karam akibat dibadai Taufan Ian di pantai Florida, lapor Xinhua.
Walter Slosar, ketua ejen Peronda Sempadan AS sektor Miami, menerusi Twitter pada Rabu memaklumkan anggotanya mengambil tindakan sewajarnya berhubung insiden pendatang mendarat di Stock Island, Monroe County Florida.
Slosar berkata, empat “pendatang Cuba berenang ke pantai selepas kapal mereka karam akibat cuaca buruk”, dengan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan untuk mengesan 23 individu lain.
Ian, taufan Kategori Empat dengan kelajuan angin mencecah 250km/jam, mendarat di pantai barat Florida pada petang Rabu.