
Snowden, 39, melarikan diri dari AS dan diberikan suaka di Rusia selepas membocorkan fail rahsia pada 2013 yang mendedahkan banyak operasi pengawasan domestik dan antarabangsa dijalankan NSA, tempat dia bekerja.
Sejak itu, pihak berkuasa mendesak Snowden kembali ke AS untuk menghadapi tuduhan jenayah kerana mengintip.
Nama Snowden antara 72 warga asing yang muncul dalam senarai mendapat kerakyatan negara itu.
Snowden dalam catatan di Twitter kemudian berkata, dia mahu keluarganya terus bersama dan meminta supaya tidak diganggu.
“Selepas bertahun-tahun berpisah dengan ibu bapa kami, saya dan isteri tidak mempunyai keinginan untuk berpisah dengan anak-anak kami.
“Selepas dua tahun menunggu dan hampir 10 tahun dalam buangan, sedikit kestabilan akan membawa perubahan kepada keluarga saya. Saya berdoa untuk privasi buat mereka – dan untuk kita semua.”
Peguamnya, Anatoly Kucherena berkata, isteri Snowden, Lindsay Mills turut akan memohon kerakyatan Rusia.
Rusia memberikan taraf penduduk tetap kepada Snowden pada 2020 yang memberi laluan kepadanya untuk mendapatkan kewarganegaraan Rusia.
Pendedahan Snowden pada 2013 mencetuskan kemarahan rakyat AS dan Mahkamah Rayuan di negara itu memutuskan program yang didedahkannya menyalahi undang-undang.
Putin, yang juga bekas ketua perisikan Rusia pada 2017 berkata, tindakan Snowden mendedahkan rahsia AS adalah salah, tetapi menegaskan dia bukannya pengkhianat.