Juruterbang Lufthansa mogok esok, kata kesatuan sekerja

Juruterbang Lufthansa mogok esok, kata kesatuan sekerja

Ia akibat kegagalan dalam rundingan kenaikan gaji untuk juruterbang syarikat penerbangan Jerman itu.

Masalah mogok dan kekurangan kakitangan memaksa syarikat penerbangan, termasuk Lufthansa membatalkan ribuan penerbangan pada musim panas ini. (Gambar AP)
FRANKFURT:
Juruterbang Lufthansa akan mengadakan mogok esok, kata kesatuan sekerja semalam, susulan pertikaian gaji yang akan terus menjejaskan perjalanan musim panas.

Kesatuan itu, Vereinigung Cockpit (VC), berkata rundingan kenaikan gaji gagal dan mogok itu akan membabitkan juruterbang syarikat penerbangan komersial dan bahagian kargonya.

Lufthansa enggan mengulas berhubung mogok itu.

Masalah mogok dan kekurangan kakitangan memaksa syarikat penerbangan, termasuk Lufthansa membatalkan ribuan penerbangan pada musim panas ini serta menyebabkan penumpang terpaksa beratur berjam-jam di lapangan terbang.

VC menuntut kenaikan gaji 5.5% tahun ini untuk lebih 5,000 juruterbangnya dan pampasan inflasi automatik.

“Kami juga belum menerima tawaran mencukupi hari ini. Ini amat membimbangkan,” kata jurucakap VC, Matthias Baier.

Semalam, juruterbang di anak syarikat Lufthansa, Eurowings menyokong mogok diadakan, tetapi mereka mahu meneruskan rundingan kenaikan gaji dengan majikan terlebih dahulu.

Awal bulan ini, satu lagi mogok berjaya dielakkan apabila pengurusan Lufthansa mencapai kata sepakat berhubung kenaikan gaji bagi kakitangan di darat. Ia menyusul mogok sebelum itu yang menyebabkan lebih 1,000 penerbangan dibatalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.