
Vanessa Bryant menyaman Daerah Los Angeles kerana menceroboh privasi, selepas mendakwa syerif daerah itu dan anggota bomba berkongsi imej mengerikan nahas itu dalam keadaan tidak rasmi, termasuk kepada pengunjung sebuah bar.
Chris Chester, yang isterinya Sarah, 45, dan anak perempuan mereka, Payton, 13, antara penumpang maut dalam nahas itu dan menyertai saman Bryant, diberikan ganti rugi USD15 juta, menjadikan keseluruhan ganti rugi diberikan juri berjumlah USD31 juta.
Bryant, yang berada dalam bilik mahkamah persekutuan Los Angeles, menangis apabila keputusan diumumkan selepas perbicaraan selama 11 hari. Beliau dan peguamnya enggan bercakap dengan media ketika mereka meninggalkan mahkamah.
Kobe Bryant, anak perempuannya Gianna dan tujuh individu lain maut dalam nahas di Calabasas, California pada 26 Jan 2020.
Vanessa Bryant turut memfailkan saman terhadap syarikat sewa helikopter dan harta pusaka juruterbang maut itu.
Daerah itu bersetuju membayar USD2.5 juta untuk menyelesaikan kes sama yang difailkan waris mangsa korban lain dalam nahas berkenaan.
Kobe Bryant meninggal dunia pada usia 41 tahun. Lagenda Los Angeles Lakers itu disenaraikan dalam pasukan All-Star sebanyak 18 kali, selain memenangi lima kejuaraan NBA dan dipilih ke Hall of Fame pada 2020.