
Setiausaha Akhbarnya, Rose Beatrix Cruz-Angeles berkata, penutupan itu meliputi wilayah Laguna, Rizal, Bulacan, Cavite, Zambales dan Bataan di wilayah Luzon Tengah.
“Penutupan untuk sekolah dan pejabat swasta diserahkan kepada budi bicara ketua masing-masing,” katanya.
Dalam satu memorandum, Setiausaha Eksekutif, Victor Rodriguez berkata, penutupan sementara itu tidak termasuk agensi kerajaan terbabit dalam perkhidmatan kesihatan dan pencegahan bencana.
Menurut biro cuaca, ribut tropika Ma-on membadai wilayah Isabela di utara Filipina kira-kira 10.30 pagi semalam (waktu tempatan) menyebabkan hujan dan angin kencang.
Ma-on membawa angin maksimum 110km sejam dengan tiupan angin sehingga 185km sejam hampir empat jam sebelum bergerak ke utara-barat laut pada kelajuan 20km sejam.
Biro itu memberi amaran kepada orang ramai untuk kekal berwaspada memandangkan ribut boleh mencetuskan hujan lebat, banjir kilat dan tanah runtuh di utara Luzon dan kawasan lain di tanah besar.
Lebih 500 penduduk di kawasan rendah di utara Luzon dipindahkan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. Ribut tropika itu dijangka bergerak ke arah barat laut.
Ma-on adalah taufan tropika keenam yang melanda negara Asia Tenggara itu tahun ini. Secara purata, negara kepulauan itu mengalami 20 taufan setiap tahun.
April lalu, ribut tropika Megi melanda Filipina dan menyebabkan tanah runtuh serta banjir yang meragut 224 nyawa dengan 147 lagi hilang.