
Albanese berkata, tindakan Morrison itu tidak dicadangkan sebagai menyalahi undang-undang tetapi ia menimbulkan persoalan mengenai konvensyen politik dan pemeriksaan kuasa dalam demokrasi.
“Terdapat kelemahan asas dalam (proses) semak dan imbang. Jika tiada siapa tahu siapa menterinya, bagaimana mereka dapat dipertanggungjawabkan atas keputusan yang dibuat?” kata Albanese kepada pemberita hari ini.
Albanese berkata, pejabatnya telah menerima nasihat daripada pegawai undang-undang kedua tertinggi negara dan beliau akan diberi taklimat hari ini. Laporan itu akan didedahkan selepas mesyuarat Jemaah Menteri, tambahnya.
Morrison, yang berundur sebagai ketua Parti Liberal selepas kalah dalam pilihan raya umum pada Mei, berdepan kritikan bertubi-tubi daripada kerajaan Parti Buruh dan partinya sendiri, selepas didedahkan beliau secara rahsia memegang jawatan di kementerian tanpa memberitahu Parlimen mahupun partinya.
Tiga menteri tidak sedar mereka berkongsi kuasa dengan Morrison dalam Kementerian Dalam Negeri, Perbendaharaan dan Kewangan sehinggalah minggu lepas. Morrison berkata, beliau hanya campur tangan dalam satu kementerian, iaitu Kementerian Sumber, untuk menyekat projek gas luar pesisir.
Semalam, Albanese berkata, beliau mungkin mempertimbangkan siasatan yang lebih meluas.
Morrison minggu lepas berkata, wabak Covid-19 ialah tempoh yang luar biasa dan beliau secara rahsia mengambil alih kementerian kerana merasakan bahawa hanya beliau patut bertanggungjawab ke atas negara.