Al-Shabaab serang hotel di Mogadishu

Al-Shabaab serang hotel di Mogadishu

Kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda itu mengaku bertanggungjawab menyerang Hotel Hayat di ibu negara Somalia.

Pasukan keselamatan Somalia membuat rondaan berdekatan Hotel Hayat selepas serangan Al-Shabaab. (Gambar AFP)
MOGADISHU:
Sekumpulan penyerang bersenjata menyerbu sebuah hotel di ibu negara Somalia, susulan dua letupan kereta dan kejadian tembakan, kata polis dan pegawai risikan pada Jumaat.

“Dua bom kereta menyasarkan Hotel Hayat. Satu terkena penghadang dekat hotel dan satu lagi meletup di pintu pagar hotel. Kami percaya penyerang berada dalam hotel itu,” kata pegawai polis yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmed kepada Reuters.

Dua pegawai risikan yang tidak mahu dinamakan, turut mengesahkan kejadian itu.

Abdikadir Abdirahman, pengarah dan pengasas perkhidmatan ambulans Aamin di Mogadishu berkata, mereka sudah menghantar sembilan mangsa cedera dari hotel itu ke hospital.

Tiada butiran berhubung jumlah mangsa cedera atau korban. Seorang saksi berkata, tiada lagi letupan dan tembakan kedengaran dari arah hotel sekali-sekala.

Kumpulan al-Shabaab yang dikaitkan dengan al-Qaeda mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu, menurut terjemahan Kumpulan Perisikan Site yang memantau kenyataan kumpulan jihad.

Al-Shabaab melancarkan serangan untuk menjatuhkan kerajaan Somalia lebih 10 tahun. Ia mahu menubuhkan kerajaan sendiri berdasarkan tafsiran ketat undang-undang Islam.

Hotel Hayat ialah tempat yang popular dengan penggubal undang-undang dan pegawai kerajaan.

Pegawai polis sedang menjalankan operasi bagi menghentikan serangan itu, lapor agensi berita negara Somalia di Twitternya yang memetik jurucakap polis.

“Unit Khas Polis Somalia menyelamatkan ramai orang dari Hotel Hayat di Mogadishu, ketika pasukan keselamatan menangani insiden pengganas itu,” lapor agensi itu.

Ini adalah serangan besar pertama sejak Presiden Hassan Sheikh Mohamud berkuasa pada Mei lalu.

Al-Shabaab pernah melancarkan serangan seumpama ini. Pada Ogos 2020, kumpulan itu mengaku menyerang sebuah hotel di Mogadishu yang meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.