Kumpulan bersenjata serbu hospital Haiti, bunuh pesakit

Kumpulan bersenjata serbu hospital Haiti, bunuh pesakit

Kejadian itu berlaku di Hospital Raoul Pierre Louis di Carrefour, pinggir selatan ibu negara Haiti, pada Ahad lalu.

Doktor Tanpa Sempadan berkata, ini julung kali kejadian seumpama itu berlaku di salah sebuah pusat mereka. (Gambar AP)

PORT-AU-PRINCE: Sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu sebuah hospital di pinggir bandar Port-au-Prince dan melarikan seorang pesakit sebelum membunuhnya di luar, kata kumpulan perubatan bukan kerajaan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pada Khamis.

Kejadian itu berlaku di Hospital Raoul Pierre Louis di Carrefour, pinggir selatan ibu negara Haiti, pada Ahad lalu.

“Dalam bilik kecemasan yang disokong MSF, kumpulan lelaki yang dilengkapi pistol itu melarikan seorang pesakit dan membunuhnya dengan kejam di luar hospital,” kata MSF dalam kenyataan.

Tiada butiran mengenai identiti kumpulan penembak itu atau pesakit terbabit. Polis Haiti tidak memberi respons segera terhadap permintaan AFP untuk komen.

“Ini julung kali kami merekodkan kejadian seumpama ini, kumpulan bersenjata menyerbu pusat kami untuk bertindak sedemikian,” kata Michel Alexandre, ketua komunikasi MSF di Haiti kepada AFP.

Alexandre menggesa kakitangan organisasi itu “dihormati” dan jika lebih banyak keganasan berlaku, ia terpaksa menutup kemudahannya sementara “untuk menilai keadaan”.

Sebuah lagi kemudahan MSF di Port-au-Prince ditutup sementara baru-baru ini selepas seorang individu ditembak di kawasan berdekatan.

Pada Jun 2021, sebuah hospital MSF menjadi sasaran tembakan di Martissant, pinggir selatan Port-au-Prince, dengan beberapa geng sering bertempur.

Dua bulan kemudian, organisasi itu mengumumkan penutupan hospital itu selepas 15 tahun beroperasi dan berpindah ke pusat bandar Port-au-Prince akibat ketidaktenteraman di kawasan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.