
Laporan sebelum ini menyatakan penembak itu mungkin menyasarkan gelandangan, tetapi ia tidak segera disahkan pihak berkuasa di Langley, sebuah bandar dengan 130,000 penduduk kira-kira sejam dari tenggara Vancouver.
“Saya boleh mengesahkan empat orang ditembak penembak tunggal,” kata Ketua Polis Langley, Ghalib Bhayani dalam sidang media.
Dua mangsa maut, manakala mangsa ketiga – seorang wanita – kekal dalam keadaan kritikal dan mangsa keempat ditembak di kaki.
Bhayani berkata, pihak berkuasa masih berusaha untuk mengenal pasti identiti mangsa dan suspek, serta menentukan sama ada terdapat kaitan antara mereka.
“Sekarang kami sedang menentukan identiti mereka dan kami tidak dapat mengesahkan sama ada mereka gelandangan,” kata penyiasat David Lee.
Beberapa penduduk Langley memuat naik gambar amaran kecemasan yang mereka terima daripada polis kira-kira 6.15 pagi waktu tempatan mengesahkan “beberapa tembakan” berlaku di kawasan pusat bandar.
Penduduk kemudiannya dimaklumkan suspek bukan lagi ancaman, tetapi menggesa mereka menjauhi kawasan tembakan.
Jenayah keganasan berkaitan senjata api menyumbang kurang daripada 3% daripada semua jenayah keganasan di Kanada – tetapi sejak 2009, kadar per kapita senjata api yang ditembak dengan niat untuk membunuh atau mencederakan meningkat lima kali ganda.
Disebabkan gelombang tembakan beramai-ramai di negara jiran Amerika Syarikat, Perdana Menteri, Justin Trudeau mengumumkan cadangan pembekuan ke atas pemilikan pistol yang akan melarang pengimportan dan penjualannya.
Kanada mengharamkan 1,500 jenis senjata api gred tentera atau ala serangan pada Mei 2020, beberapa hari selepas tembakan beramai-ramai yang meragut 23 nyawa di kawasan luar bandar Nova Scotia.