China lulus ubat HIV Genuine Biotech untuk pesakit Covid

China lulus ubat HIV Genuine Biotech untuk pesakit Covid

Pil Azvudine yang diluluskan China tahun lalu untuk merawat jangkitan HIV-1 tertentu, telah diberikan lampu hijau bersyarat bagi merawat pesakit dewasa dengan Covid “jenis biasa”.

China sebelum ini membenarkan Paxlovid keluaran Pfizer untuk dewasa dengan gejala ringan hingga sederhana, yang berisiko tinggi menjadi lebih teruk. (Gambar Reuters)
BEIJING:
China hari ini memberi kelulusan bersyarat kepada pil Azvudine keluaran firma tempatan Genuine Biotech bagi merawat golongan tertentu pesakit Covid-19 dewasa, seterusnya menambah satu lagi rawatan oral terhadap virus korona.

Ketersediaan rawatan dan vaksin Covid yang berkesan adalah penting ke arah peralihan China daripada dasar “zero Covid” yang menyasarkan untuk menghapuskan setiap penularan tidak kira besar atau kecil, selain bergantung kepada saringan besar-besaran dan kuarantin ketat.

Pil Azvudine yang diluluskan China tahun lalu untuk merawat jangkitan HIV-1 tertentu, telah diberikan lampu hijau bersyarat bagi merawat pesakit dewasa dengan Covid “jenis biasa”, kata Pentadbiran Produk Perubatan Kebangsaan dalam kenyataan.

Covid “jenis biasa” adalah terma biasa digunakan di China bagi merujuk kepada jangkitan virus korona yang menunjukkan tanda-tanda pneumonia, tetapi pesakit belum sampai tahap teruk.

Pada Februari, China membenarkan penggunaan rawatan oral Pfizer, Paxlovid, bagi dewasa dengan gejala ringan hingga sederhana, serta berisiko tinggi menjadi lebih teruk. Pada 2020 ia telah meluluskan penggunaan kapsul Lianhuaqingwen iaitu formula herba bagi meredakan gejala Covid seperti demam panas dan batuk.

Syarikat China lain yang sedang membangunkan rawatan oral Covid lain termasuk Shanghai Junshi Biosciences dan Kintor Pharmaceutical.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.