
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, nilai mata wang India telah mencecah rekod terendah berbanding dolar AS, mendorong Bank Rizab India (RBI) membekalkan dolar tambahan.
Gabenor RBI Shaktikanta Das, hari ini, berkata pergerakan rupee agak lancar dan teratur berikutan tindakan bank pusat itu, termasuk langkah untuk menggalakkan aliran masuk.
“Saya ingin mengulangi bahawa kami tidak mempunyai tahap tertentu untuk rupee, tetapi kami ingin memastikan evolusinya teratur dan kami mempunyai toleransi sifar untuk pergerakan yang tidak menentu dan tidak lancar.
“Dalam mengakui bahawa terdapat kekurangan sebenar bekalan forex dalam pasaran berbanding permintaan kerana keperluan import dan perkhidmatan hutang serta portfolio aliran keluar, RBI telah membekalkan dolar US kepada pasaran untuk memastikan kecairan forex yang mencukupi.
“Lagi pula, inilah tujuan kami mengumpul rizab apabila aliran masuk modal kukuh,” kata Das pada persidangan perbankan di Mumbai.
RBI menyimpan USD642 bilion dalam rizab pertukaran asing, pada Okt tahun lalu.
Rizab itu berada pada USD580.2, paras terendah dalam tempoh 15 bulan, menurut laporan mingguan RBI, pada 15 Jul.
Rupee melepasi paras psikologi 80 bagi setiap dolar dalam beberapa hari kebelakangan ini dan didagangkan sekitar 79.9 berbanding dolar AS, pada Jumaat.
Beliau menyifatkan keadaan ekonomi global sebagai “suram” kerana faktor seperti perang Rusia-Ukraine dan pandemik Covid-19.