
“Seramai 13 (banduan) dilaporkan maut dan dua cedera,” kata pihak berkuasa penjara SNAI di Twitter.
Insiden itu berlaku di penjara Bellavista di bandar Santo Domingo de los Colorados, kira-kira 80km dari Quito, di mana 44 banduan terbunuh dalam kejadian serupa pada Mei.
Bagaimanapun, keadaan dapat dikawal oleh pegawai penjara dengan bantuan tentera dan polis, kata SNAI.
Menteri Dalam Negeri Patricio Carrillo pada sidang media berkata, menurut maklumat terkini, “kebanyakan” mangsa ialah warga Venezuela.
Media tempatan melaporkan bahawa beberapa banduan dipenggal dan dikerat-kerat dalam kejadian tersebut.
“Ahli keluarga banduan yang menanti dengan cemas di luar penjara menerima gambar-gambar tubuh manusia yang dikerat-kerat menerusi telefon bimbit mereka,” menurut laporan akhbar El Universo.
Carrillo berkata, pemeriksaan menyeluruh sedang dijalankan di dalam penjara dan “besar kemungkinan” lebih banyak mayat akan ditemui.
Kira-kira 220 banduan melarikan diri dari penjara berkenaan semasa rusuhan pada Mei, tetapi kebanyakannya berjaya ditangkap semula.
Rusuhan penjara yang ganas menjadi kelaziman di penjara-penjara Ecuador, yang terletak di antara negara pengeluar kokaina terbesar dunia, Colombia dan Peru, di mana geng pengedar dadah berebut-rebut untuk mengawal laluan penyeludupan.
Negara dengan 17.7 juta penduduk itu popular dalam kalangan pengedar dadah kerana sempadannya yang longgar, ekonomi berdolar dan pelabuhan utama untuk eksport.
Penjaranya terlalu sesak dan kekurangan pengawal, dan rasuah yang berleluasa membolehkan banduan mendapatkan semua jenis barangan larangan, termasuk senjata api dan bahan letupan.
Sejak Februari 2021, terdapat hampir sedozen pembunuhan beramai-ramai di penjara di negara itu, segelintirnya menjadi antara yang terburuk di Amerika Latin, dengan kira-kira 400 banduan terbunuh.