Beratus lagi mangsa berpindah susulan kebakaran hutan di Perancis

Beratus lagi mangsa berpindah susulan kebakaran hutan di Perancis

Lebih 1,000 anggota bomba bersama sembilan pesawat pengebom air dikerah untuk mengawal dua kebakaran akibat gelombang haba dan angin kencang.

Kebakaran telah mengakibatkan kemusnahan 7,300 hektar, hutan dan jumlahnya meningkat sebanyak 2,000 hektar dalam sekelip mata. (Gambar AP)
PARIS:
Ratusan penduduk terpaksa berpindah dari kediaman mereka bagi mengelak kejadian tidak diingini susulan kebakaran hutan akibat cuaca panas melampau di barat daya Perancis sejak Selasa lalu, kata pihak berkuasa hari ini.

Lebih 1,000 anggota bomba bersama sembilan pesawat pengebom air dikerah untuk mengawal dua kebakaran akibat gelombang haba dan angin kencang.

“Keadaan masih buruk,” kata pihak berkuasa Gironde, di mana lebih 7,300 hektar kebakaran hutan dicatatkan, pertambahan sebanyak 2,000 hektar semalam.

Sementara itu, satu lagi kebakaran hutan berlaku berhampiran bandar tenggara Tarascon semalam dan sekurang-kurangnya 1,000 hektar hutan turut terbakar.

Fenomena kebakaran hutan turut dilaporkan di beberapa negara Eropah termasuk Portugal, Sepanyol dan Croatia hingga membakar rumah dan mengancam mata pencarian kerana sebahagian besar Eropah berdepan cuaca panas melampau hingga mencecah 40 darjah celcius.

Selain itu, kebakaran turut dilaporkan di sekitar bandar Landiras di selatan Bordeaux, di mana 4,200 hektar terbakar, jalan raya ditutup dan lebih 480 penduduk berhampiran dipindahkan, menjadikan jumlah keseluruhan hampir 1,000 penduduk dipindahkan.

Perancis yang sebelum ini mengalami beberapa siri kebakaran hutan sejak beberapa minggu lalu, menempuh kesengsaraan sama seperti negara Eropah lain yang sudah berbulan-bulan dilanda gelombang haba.

Kebakaran hutan di kawasan lain di Perancis turut dicatatkan hingga mencecah 3,100 hektar ialah di sepanjang Pantai Atlantik berhampiran dengan tapak perkhemahan di “Dune du Pilat” iaitu bukit pasir tertinggi di Eropah di kawasan Teluk Arcachon.

Kira-kira 10,000 orang di kawasan berkenaan sudah dipindahkan manakala tiga rumah dan dua restoran di kawasan itu turut musnah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.