Bank Dunia bantu tangani kekurangan zat makanan di Filipina

Bank Dunia bantu tangani kekurangan zat makanan di Filipina

Bank Dunia menyokong perkhidmatan pemakanan dan penjagaan kesihatan di peringkat asas dan komuniti dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.

Bank Dunia memberi amaran berjuta-juta kanak-kanak ‘bakal berdepan risiko kekurangan zat makanan’, melainkan tindakan segera diambil. (Gambar AFP)
MANILA:
Bank Dunia pada Khamis meluluskan pinjaman sebanyak USD$178.1 juta bagi menyokong usaha kerajaan Filipina menangani isu kekurangan zat makanan.

Bank yang berpangkalan di Washington itu memaklumkan ia akan menyokong perkhidmatan pemakanan dan penjagaan kesihatan di peringkat asas dan komuniti bagi membantu mengurangkan masalah bantut akibat kekurangan nutrisi yang berpanjangan dalam kalangan bayi dan kanak-kanak, lapor Xinhua.

“Tahap kekurangan zat makanan kanak-kanak di Filipina, diburukkan lagi oleh pandemik Covid-19, boleh membawa kepada ketidakstabilan di negara ini,” kata Pengarah Bank Dunia untuk Brunei, Malaysia, Filipina, dan Thailand, Ndiame Diop.

Memperbaiki kualiti pemakanan kanak-kanak adalah kunci agar matlamat negara Asia Tenggara itu untuk meningkatkan modal insan di samping mengukuhkan pemulihan ekonomi dan prospek pertumbuhan jangka panjang dapat dicapai.

Di peringkat global, harga makanan telah meningkat sejak pertengahan 2020, merekodkan nilai tertinggi pada tahun ini, sehingga membawa kepada isu keselamatan makanan di seluruh dunia.

Bank itu turut memberi amaran berjuta-juta kanak-kanak “bakal berdepan risiko kekurangan zat makanan”, melainkan tindakan segera diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.