Kes pertama cacar monyet di Asean dikesan di Singapura

Kes pertama cacar monyet di Asean dikesan di Singapura

Setakat semalam, 13 kontak rapat telah dikenal pasti dan akan dikuarantin selama 21 hari.

Pramugara dari Britain itu mengalami ruam kulit pada 19 Jun lalu dan sedang dirawat di wad Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan republik itu.
SINGAPURA:
Singapura mengesahkan satu kes import jangkitan cacar monyet atau monkeypox di republik itu membabitkan seorang lelaki warga Britain berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pramugara.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), lelaki itu berada di sini antara 15 hingga 17 Jun dan sekali lagi pada 19 Jun lalu.

“Dia disahkan positif cacar monyet pada 20 Jun. Dia kini dirawat di wad Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) dan keadaannya stabil. Pengesanan kontak sedang dijalankan,” menurut MOH dalam kenyataan di laman sesawangnya pada lewat Selasa.

Lelaki itu mengalami sakit kepala pada 14 Jun dan demam dua hari kemudian.

“Selepas menunjukkan simptom itu, pesakit kemudiannya mengalami ruam kulit pada 19 Jun. Beliau mendapatkan rawatan perubatan melalui telekonsultasi pada malam 19 Jun dan dibawa ke NCID pada 20 Jun untuk pemantauan lanjut.”

Pengesanan kontak sedang dilakukan untuk penerbangan terjejas dan sepanjang tempoh beliau tinggal di Singapura.

“Sepanjang tempoh itu, dia banyak menghabiskan masa di bilik hotel, kecuali pergi ke pusat urut dan makan di tiga kedai makanan pada 16 Jun,” menurut MOH.

Secara umum, risiko penularan kepada pelawat di lokasi tersebut adalah rendah kerana data menunjukkan cacar monyet berjangkit melalui hubungan fizikal yang rapat atau berpanjangan.

“Kerja-kerja pembersihan dan nyahkuman sedang dilakukan di keempat-empat lokasi yang dikunjungi lelaki itu.”

Setakat semalam, 13 kontak rapat telah dikenal pasti dan akan dikuarantin selama 21 hari sejak hari terakhir mereka berhubung dengan kes itu.

Selain itu, dua kenalan berisiko rendah diletakkan di bawah pemantauan telefon. Mereka akan menerima panggilan telefon setiap hari dalam tempoh 21 hari untuk memantau sekiranya mengalami sebarang simptom.

Jika disyaki dijangkiti, mereka akan segera dibawa ke NCID untuk pemantauan lanjut dan pengasingan bagi mencegah penularan seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.