Ekstremis serang acara yoga di Maldives

Ekstremis serang acara yoga di Maldives

Puluhan orang mengibarkan bendera memaparkan slogan keagamaan menyerbu dan mengusir kumpulan yang hadir menyambut Hari Yoga Antarabangsa di sebuah stadium bola sepak di Male.

Puluhan perusuh mengusir orang ramai yang hadir untuk sambutan Hari Yoga Antarabangsa di Male. (Gambar Twitter)
MALE:
Kumpulan ekstremis menyerbu sesi yoga awam di Maldives hari ini, memaksa polis di syurga pelancongan Asia Selatan itu terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.

Puluhan orang mengibarkan bendera memaparkan slogan keagamaan menyerbu dan mengusir kumpulan orang ramai yang hadir bagi menyambut Hari Yoga Antarabangsa di sebuah stadium bola sepak di ibu negara, Male.

Polis menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka, manakala enam orang ditahan selepas kumpulan perusuh merosakkan papan iklan mengenai acara itu yang dianjurkan oleh kementerian sukan serta Pusat Kebudayaan India.

Laporan media tempatan mendakwa kumpulan perusuh itu menyelar amalan yoga sebagai bertentangan dengan Islam.

Presiden Ibrahim Mohamed Solih menyifatkan serangan itu sebagai sesuatu yang membimbangkan dan menegaskan siasatan sedang dijalankan.

“Mereka yang bertanggungjawab akan dikenakan tindakan segera mengikut undang-undang,” katanya di Twitter.

Fahaman radikal semakin membimbangkan pihak berkuasa di negara di barat daya India itu, yang terkenal dengan keindahan pantai yang sering dikunjungi pelancong antarabangsa termasuk dalam kalangan selebriti.

Pihak berkuasa malah menyalahkan kumpulan ekstremis agama bertanggungjawab atas cubaan membunuh Speaker parlimennya, Mohamed Nasheed, tahun lalu.

Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pengikut fahaman ekstremis, termasuk menahan seorang yang disyaki merekrut anggota Islamic State pada 2019. Penceramah asing juga dilarang memasuki negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.