Hina Nabi Muhammad, India berjaga-jaga hadapi ancaman militan

Hina Nabi Muhammad, India berjaga-jaga hadapi ancaman militan

Tindakan itu susulan amaran serangan militan Islam kononnya untuk membalas dendam terhadap kenyataan menghina Nabi Muhammad oleh seorang pegawai parti pemerintah negara itu.

Penunjuk perasaan membakar bendera India dan gambar ahli politik Nupur Sharma di Karachi pada 6 Jun. (Gambar AP)
LUCKNOW:
India memperketat kawalan keselamatan pada Rabu susulan penyebaran surat yang memberi amaran serangan mahu dilaksanakan militan Islam kononnya untuk membalas dendam terhadap kenyataan menghina Nabi Muhammad oleh seorang pegawai parti pemerintah negara itu.

Beberapa kumpulan media India mengongsikan surat bertarikh 6 Jun itu, didakwa daripada cabang al Qaeda di India, AQIS, yang mengancam melaksanakan serangan bunuh diri di negara itu.

Seorang pegawai menteri dalam negeri berkata, agensi risikan kini menyiasat kesahihan ancaman berkenaan.

“Kami turut mengarahkan polis di peringkat negeri melarang perhimpunan atau bantahan awam kerana mungkin menjadi sasaran kumpulan militan itu,” kata seorang pegawai kanan kementerian dalam negeri di New Delhi.

Ancaman keselamatan itu berlaku beberapa hari selepas jurucakap bagi parti Bharatiya Janata (BJP) membuat beberapa kenyataan mengenai Nabi Muhammad ketika perbahasan yang disiarkan di televisyen.

Kenyataan Nupur Sharma itu mencetuskan kemarahan umat Islam di India dan mencetuskan protes diplomatik negara Islam di seluruh dunia yang mendesak kerajaan negara itu membuat permohonan maaf.

Susulan itu, Sharma digantung BJP, manakala seorang lagi jurucakap, Naveen Kumar Jindal dipecat kerana kenyataannya di media sosial mengenai Islam.

Polis di utara India turut menahan seorang pemimpin pemuda BJP kerana hantaran anti-Islam di media sosial, selain 50 orang turut ditangkap kerana mengambil bahagian dalam bantahan terhadap kenyataan Sharma.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.