AS dakwa segelintir pegawai di India sokong serangan terhadap minoriti

AS dakwa segelintir pegawai di India sokong serangan terhadap minoriti

Laporan itu menyatakan, serangan ke atas ahli komuniti minoriti agama, termasuk pembunuhan, serangan dan ugutan berlaku sepanjang tahun lalu di India.

Umat Islam membentuk kira-kira 13% daripada penduduk India. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Segelintir pegawai di India didakwa tidak mempedulikan atau malah menyokong peningkatan serangan terhadap penduduk dan tempat ibadat di negara itu, kata seorang pegawai Amerika Syarikat (AS), semalam.

Ia hasil penemuan laporan mengenai kebebasan beragama secara global pada 2021.

Laporan itu menyatakan, serangan ke atas ahli komuniti minoriti agama, termasuk pembunuhan, serangan dan ugutan berlaku sepanjang tahun lalu di India.

Ia termasuk menghukum golongan bukan Hindu atas dakwaan menyembelih lembu atau berniaga daging lembu.

Kebanyakan penganut Hindu, iaitu kira-kira 80% daripada 1.35 bilion penduduk India, menganggap lembu sebagai suci.

Banyak negeri yang diperintah parti nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi menggubal undang-undang atau memperkasa undang-undang lama bagi menentang penyembelihan lembu.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, berkata laporan itu menunjukkan kebebasan beragama dan hak minoriti agama berada di bawah ancaman di seluruh dunia.

“Sebagai contoh, di India, negara demokrasi terbesar di dunia dan rumah kepada kepelbagaian kepercayaan yang besar, kami telah melihat peningkatan serangan ke atas orang ramai dan tempat ibadat,” kata Blinken.

Rashad Hussain, yang mengetuai usaha Jabatan Negara AS bagi memantau kebebasan beragama di seluruh dunia, berkata beberapa pegawai India ‘tidak mempedulikan atau malah menyokong peningkatan serangan ke atas orang awam dan tempat ibadat’.

Kementerian luar India tidak segera memberi maklum balas selepas diminta mengulas perkara itu.

Ia sebelum ini menolak sebarang ulasan dari luar mengenai hal ehwal dalaman, terutama dari AS.

Pertikaian antara komuniti agama di India mengenai tempat ibadat berlaku sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan British pada 1947, namun ia semakin menjadi kebiasaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Umat Islam membentuk kira-kira 13% daripada penduduk India.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.