
Resolusi itu mendapat sokongan 13 anggota Majlis Keselamatan yang lain, walaupun beberapa sekutu AS tertanya-tanya mengapa Washington meneruskan undian apabila mengetahui tentangan yang tidak berbelah bahagi daripada Beijing dan Moscow.
Kedua-dua China, sekutu terdekat Korea Utara, dan Rusia, yang hubungannya dengan Barat terjejas akibat pencerobohan Ukraine, berkata mereka lebih suka kenyataan tidak mengikat berbanding resolusi baharu terhadap Pyongyang.
AS “tidak seharusnya menggantikan penekanan berat sebelah pada pelaksanaan sekatan sahaja. Ia juga harus berfungsi untuk mempromosikan penyelesaian politik”, kata duta China ke PBB Zhang Jun.
Beliau memberi amaran bahawa sekatan akan membawa akibat dari segi kemanusiaan bagi Korea Utara, yang baru-baru ini mengumumkan cetusan jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyatnya, yang membentuk antara komuniti paling tertutup.
Sekatan tambahan “bukan sahaja tidak akan membantu menyelesaikan masalah tetapi akan membawa kepada lebih banyak kesan negatif dan peningkatan konfrontasi”, katanya.
Duta Rusia Vassily Nebenzia menuduh AS mengabaikan rayuan Korea Utara untuk menghentikan “kegiatan bermusuhan” dan terlibat dalam dialog.
“Nampaknya rakan-rakan AS dan Barat kita tidak mempunyai tindak balas lain terhadap situasi krisis selain memperkenalkan sekatan baharu,” katanya.
Pentadbiran Presiden Joe Biden berulang kali berkata, ia bersedia untuk berunding dengan Korea Utara tanpa prasyarat.
Korea Utara kelihatan tidak berminat untuk mengadakan rundingan kerja dengan pentadbiran Biden berbanding sebelum ini, di mana Kim Jong-un mengadakan tiga mesyuarat berprofil tinggi dengan Donald Trump.
Pada masa sama, AS berkata, Korea Utara jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan 2017 yang menggesa tindakan selanjutnya jika Pyongyang menembak peluru berpandu jarak jauh.
Resolusi yang digubal AS itu akan mengurangkan jumlah minyak yang dapat diimport Korea Utara secara sah setiap tahun untuk tujuan awam daripada empat juta kepada tiga juta tong (525,000 kepada 393,750 tan).
Ia juga akan mengurangkan import petroleum ditapis daripada 500,000 kepada 375,000 tong.