Pakistan larang bekas PM protes di Islamabad

Pakistan larang bekas PM protes di Islamabad

Menteri Dalam Negeri, Rana Sanaullah Khan berkata, Imran Khan mahu menyebarkan 'kekacauan', oleh itu parti Tehreek-e-Insaf dihalang mengadakan protes.

Bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan berkata, perarakan untuk ‘kebebasan sebenar’ akan diteruskan seperti dirancang hari ini. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Kerajaan Pakistan tidak membenarkan bekas perdana menteri, Imran Khan menganjurkan perhimpunan besar-besaran di Islamabad hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Rana Sanaullah Khan dalam sidang media di Islamabad berkata, Imran mahu menyebarkan “kekacauan” dan kerajaan bertekad menghalang parti Tehreek-e-Insaf (PTI) daripada mengadakan protes.

“Kerajaan persekutuan memutuskan tidak membenarkan PTI mengadakan perarakan di Islamabad,” tulisnya di Twitter.

Sementara itu, Imran ketika bercakap kepada media di Peshawar berkata, perarakan untuk “kebebasan sebenar” tetap akan diadakan seperti dirancang dan beliau sendiri akan mengetuai perarakan dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa.

PTI yang kehilangan kuasa menerusi undi tidak percaya pada bulan lalu, mendesak pilihan raya baharu diadakan segera.

Imran mengajak orang ramai berhimpun di Islamabad, walaupun tindakan keras dikenakan ke atas anggota PTI susulan kematian seorang anggota polis yang ditembak dalam serbuan ke atas penyokong Imran di seluruh negara.

Reuters melaporkan Menteri Penerangan, Marriyum Aurangzeb dalam sidang media berkata, seorang pegawai dari parti Imran menembak mati anggota polis itu ketika polis ke rumahnya. Suspek dan bapanya sudah ditahan.

“Ia adalah detik penentuan buat Pakistan,” kata Imran sambil menyeru penyokongnya tidak gentar dengan “kerajaan import” Perdana Menteri, Shehbaz Sharif.

“Semua rakyat mesti bersedia untuk berkorban demi kebebasan sebenar,” kata Imran yang mendakwa penyingkirannya sebahagian daripada plot kuasa luar untuk mengawal hal ehwal Pakistan.

Kerajaan Parti Rakyat Pakistan (PPP) di wilayah Sindh dan pentadbiran Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) di Punjab turut mengumumkan sekatan ke atas perhimpunan awam, sebagai sebahagian usaha menggagalkan perarakan itu.

Biarpun PTI tewas dalam perebutan kuasa di Punjab baru-baru ini, namun parti itu masih mentadbir di Khyber Pakhtunkhwa, wilayah penting untuk kempen politik Imran.

Dijangkakan sebilangan besar rakyat akan berarak bersama Imran dari Khyber Pakhtunkhwa ke Islamabad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.