Jenayah perang di Ukraine: Askar Rusia dipenjara seumur hidup

Jenayah perang di Ukraine: Askar Rusia dipenjara seumur hidup

Vadim Shishimarin mengaku salah membunuh warga emas berusia 61 tahun dengan menembaknya di kepala atas arahan pegawainya.

Komander kereta kebal Vadim Shishimarin hadir dalam perbicaraannya di Kyiv hari ini. (Gambar AP)
KYIV:
Mahkamah di Ukraine menjatuhi hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang askar Rusia kerana membunuh orang awam yang tidak bersenjata dalam perbicaraan jenayah perang pertama susulan serangan Moscow di negara itu pada 24 Feb lalu.

Vadim Shishimarin, komander kereta kebal berusia 21 tahun, mengaku salah membunuh Oleksandr Shelipov, 61, di Chupakhivka, utara Ukraine, pada 28 Feb, selepas diarahkan berbuat demikian.

Hakim Serhiy Agafonov berkata, Shishimarin telah melaksanakan “perintah jenayah” dikeluarkan pegawai berpangkat lebih tinggi apabila melepaskan beberapa tembakan di kepala mangsa menggunakan senjata automatik. Shishimarin tidak menunjukkan sebarang emosi ketika hukuman dibacakan.

Perbicaraan itu mempunyai maksud simbolik besar bagi Ukraine, yang menuduh Rusia melaksanakan kekejaman terhadap orang awam sepanjang serangannya, malah mendakwa telah mengenal pasti lebih 10,000 kejadian yang boleh dianggap jenayah perang.

Rusia menafikan menyasarkan orang awam mahupun terlibat dengan jenayah perang.

Kremlin tidak mengulas hukuman terhadap Shishimarin itu. Malah ia sebelum ini menyebut tiada maklumat mengenai perbicaraan itu, selain ketiadaan misi diplomatik di Ukraine mengehadkan keupayaannya memberi bantuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.