
Sejak kumpulan itu merampas kuasa pada Ogos lalu, ia telah membubarkan beberapa badan yang melindungi kebebasan rakyat Afghanistan, termasuk suruhanjaya pilihan raya serta kementerian hal ehwal wanita.
“Kita ada organisasi lain untuk menjalankan aktiviti berkaitan hak asasi manusia, organisasi yang berkaitan dengan badan kehakiman,” kata timbalan jurucakap kerajaan Inamullah Samangani kepada AFP.
Tugasan suruhanjaya hak asasi itu yang termasuk mendokumenkan kecederaan dan kematian orang awam dalam perang dua dekad di Afghanistan, terhenti apabila Taliban menyingkirkan kerajaan yang disokong AS tahun lalu, seterusnya melihat pemimpin kanan melarikan diri dari negara itu.
Majlis Keselamatan Negara dan majlis pemulihan yang mempromosikan keamanan turut dibubarkan pada hujung minggu lalu susulan kerajaan mengumumkan bajet tahunan pertamanya.
“Jabatan-jabatan ini tidak dianggap penting, jadi telah dibubarkan, tetapi akan beroperasi semula di masa depan sekiranya diperlukan,” kata Samangani.
Taliban berdepan defisit kewangan sekitar 44 bilion afghani (kira-kira RM1.6 bilion dalam negara yang bergantung hampir sepenuhnya dengan bantuan asing.
Taliban sebelum ini menjanjikan pemerintahan lebih lembut berbanding ketika kali pertama ia berkuasa dari 1996 hingga 2001. Bagaimanapun, ia dilihat semakin menghapuskan kebebasan rakyat Afghanistan khususnya wanita, yang berdepan sekatan dari segi pendidikan, bekerja dan berpakaian.