Sekurang-kurangnya 10 terbunuh dalam kejadian tembakan di pasar raya New York

Sekurang-kurangnya 10 terbunuh dalam kejadian tembakan di pasar raya New York

Kejadian berlaku di Tops Markets di Jefferson Avenue.

Orang awam berkumpul di luar lokasi kejadian tembakan di pasar raya di bandar Buffalo, New York. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan tiga lagi cedera selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di pasar raya di bandar Buffalo, New York pada Sabtu, menurut Jabatan Polis Buffalo.

Kejadian berlaku di Tops Markets di Jefferson Avenue, lapor agensi Anadolu.

Suspek lelaki berkulit putih berusia 18 tahun berjaya ditahan, kata Pesuruhjaya Polis Buffalo Joseph Gramaglia dalam sidang media.

Gramaglia berkata 11 mangsa terdiri mereka yang berkulit hitam, manakala dua lagi berkulit putih.

FBI menyiasat kejadian itu sebagai jenayah ekstremisme ganas bermotifkan perkauman.

Penembak itu lengkap bersenjata serta memakai peralatan taktikal.

“Suspek turut dilengkapi kamera yang menyiarkan segala tindakannya secara langsung,” kata Gramaglia.

Senator New York Chuck Schumer, mengutuk serangan itu serta menzahirkan simpati kepada keluarga mangsa.

“Saya bersedih bagi mangsa dan keluarga mereka. Sifat perkauman tidak mempunyai tempat di negara kita. Saya telah bercakap dengan Datuk Bandar Buffalo dan menawarkan sebarang bantuan yang boleh dihulurkan,” katanya di Twitter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.