Gabenor Punjab minta bantuan tentera usir ‘ketua menteri’ palsu

Gabenor Punjab minta bantuan tentera usir ‘ketua menteri’ palsu

Omar Sarfraz Cheema menyifatkan pelantikan dan angkat sumpah Hamza Shehbaz sebagai ketua menteri Punjab baru-baru ini "tidak mengikut perlembagaan dan menyalahi undang-undang."

Gabenor wilayah Punjab Pakistan, Omar Sarfraz Cheema menerusi ciapannya di Twitter pada Khamis berkata, beliau secara peribadi akan mengambil tindakan agar “ketua menteri palsu” itu ditangkap dan dipenjarakan jika Panglima Tentera Darat Jeneral Qamar Javed Bajwa enggan bertindak. (Gambar Facebook Omar Sarfraz Cheema)
NEW DELHI:
Gabenor wilayah Punjab Pakistan, Omar Sarfraz Cheema meminta bantuan ketua tentera untuk mengusir ketua menteri baharu Hamza Shehbaz.

Omar, menyifatkan pelantikan dan angkat sumpah Hamza sebagai ketua menteri Punjab baru-baru ini “tidak mengikut perlembagaan dan menyalahi undang-undang.”

Gabenor menerusi ciapannya di Twitter pada Khamis berkata jika Panglima Tentera Darat Jeneral Qamar Javed Bajwa enggan bertindak, beliau secara peribadi akan mengambil tindakan agar “ketua menteri palsu” itu ditangkap dan dipenjarakan.

Hamza, anak kepada Perdana Menteri Shehbaz Sharif, dan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 30 April dalam satu majlis atas perintah mahkamah.

Speaker Dewan Negara Raja Pervaiz Ashraf mengelola majlis angkat sumpah Hamza di kediaman gabenor di Lahore susulan Omar enggan mengendalikan majlis itu dan Presiden Pakistan Arif Alvi tidak mengendahkan arahan Mahkamah Tinggi Lahore agar melantik wakil bagi menjalankan tugas itu.

Gabenor itu juga turut mengemukakan aduan terhadap Mahkamah Tinggi Lahore kepada Majlis Kehakiman Tertinggi (SJC), menurut laporan media Pakistan.

Beliau menuduh Hamza mengambil kesempatan selaku anak perdana menteri untuk dipilih sebagai ketua dalam badan perundangan wilayah dengan sokongan birokrasi Punjab.

Sementara itu, Alvi menolak khidmat nasihat Shehbaz untuk memecat Omar daripada jawatan gabenor pada bulan lepas.

Media Pakistan melaporkan perdana menteri sekali lagi bertindak menghantar perutusan kepada presiden untuk pemecatan Omar.

Dengan 60 peratus penduduk Pakistan tinggal di Punjab, wilayah itu dilihat penting bagi parti Hamza Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N), yang mengetuai kerajaan gabungan persekutuan baharu di Islamabad.

Rayuan untuk bantuan ketenteraan oleh gabenor Punjab dibuat di tengah-tengah konfrontasi politik berterusan antara PML-N dan sekutunya serta parti Perdana Menteri yang digulingkan Pakistan Imran Khan,Tehreek-e-Insaf (PTI).

Tentera Pakistan enggan terlibat secara langsung dalam pertikaian politik itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.