Thailand mansuh ujian Covid-19 ketika ketibaan mulai 1 Mei

Thailand mansuh ujian Covid-19 ketika ketibaan mulai 1 Mei

Pelancong asing yang memasuki negara itu melalui program "Test & Go" hanya perlu melakukan ujian antigen dikendalikan sendiri, yang lebih selesa dan cepat.

Pelancong yang memasuki Thailand tidak lagi diminta membuat tempahan awal penginapan hotel satu malam bagi menjalani ujian RT-PCR ketika ketibaan. (Gambar AP)
BANGKOK:
Dalam usaha meningkatkan ketibaan pelancong dan memulihkan industri pelancongan selepas dilanda pandemik, Thailand terus melonggarkan syarat kemasukan dengan membatalkan ujian RT-PCR bagi ketibaan antarabangsa untuk individu lengkap vaksinasi mulai 1 Mei.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata pelancong asing yang memasuki negara itu melalui program “Test & Go” tanpa perlu menjalani kuarantin hanya perlu melakukan ujian antigen dikendalikan sendiri, yang lebih selesa dan cepat.

Pelancong tidak lagi diminta membuat tempahan awal penginapan hotel satu malam bagi menjalani ujian RT-PCR ketika ketibaan, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) pada Jumaat.

Ketika ini, di bawah program ‘Test & Go’ tanpa kuarantin, pengembara perlu menempah hotel lebih awal, serta melakukan ujian RT-PCR pada hari pertama ketibaan dan ujian ATK pada hari kelima.

Sementara itu, jurucakap CCSA Dr Taweesin Visanuyothin berkata mesyuarat itu juga bersetuju insurans perubatan dikurangkan daripada USD20,000 kepada USD10,000.

Bagi pelancong tidak lengkap vaksinasi, mereka perlu mengemukakan ujian RT-PCR negatif bagi pengecualian kuarantin dan mereka yang gagal mempamerkan sijil vaksinasi akan dikenakan kuarantin lima hari di pusat kuarantin ditetapkan negeri.

“Ujian RT-PCR ketika ketibaan di bawah program “Test & Go” akan dimansuhkan berikutan statistik menunjukkan kadar jangkitan yang rendah dalam kalangan ketibaan antarabangsa.

Kadar jangkitan ialah 0.46% melalui “Test & Go” bulan ini,” katanya.

Mulai 1 April, pelancong antarabangsa juga tidak perlu lagi menjalani ujian Covid-19 72 jam sebelum berlepas tetapi dikehendaki memohon “Thailand Pass” bagi bukti vaksinasi dan insurans.

Mesyuarat CCSA pada Jumaat juga meluluskan penjualan minuman beralkohol di restoran hingga tengah malam, bermula 1 Mei.

Setakat Jumaat, Thailand merekodkan 21,808 kes baharu dan 128 kematian, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini sebanyak 4,128,038 kes dan 27,520 kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.