Ibu rayu selamatkan Nagaenthran daripada tali gantung

Ibu rayu selamatkan Nagaenthran daripada tali gantung

Panchalai Supermaniam merayu agar anaknya Nagaenthran K Dharmalingam diselamatkan daripada hukuman gantung di Singapura minggu depan.

Mahkamah Rayuan Singapura pada 29 Mac menolak permohonan terakhir Nagaenthran K Dharmalingam terhadap pelaksanaan hukuman.
SINGAPURA:
“Nagaenthran. Selamatkan dia. Baru hati senang. Minta maaf dia sudah salah. Semua orang tolong.”

Itulah kata-kata daripada seorang ibu, Panchalai Supermaniam yang merayu agar anaknya warga Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam diselamatkan daripada hukuman gantung di Singapura pada minggu depan.

Video pendek oleh pertubuhan hak asasi manusia, Reprieve, itu disiarkan oleh peguam Singapura M Ravi di hantaran Facebooknya.

“Baru sahaja menerima berita yang menyayat hati bahawa Nagaenthran akan dihukum gantung pada Rabu depan,” katanya dalam satu lagi catatan sebelum ini.

Mahkamah Rayuan Singapura pada 29 Mac telah menolak permohonan terakhir Nagaenthran terhadap pelaksanaan hukuman.

Ravi telah memberikan bantuan teknikal kepada peguam Nagaenthran, Violet Netto.

Nagaenthran berasal dari Perak dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 2010 atas kesalahan menyeludup 42.72 gram dadah jenis diamorphine.

Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya dari segi intelek.

Nagaenthran, dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 Nov 2021, tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif Covid-19 ketika hadir mengemukakan rayuan terakhirnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.