Hadapi krisis kewangan, Sri Lanka minta bantuan segera daripada IMF

Hadapi krisis kewangan, Sri Lanka minta bantuan segera daripada IMF

Permintaan ini dijangka dipertimbangkan pemberi pinjaman global itu walaupun pada mulanya, ia didapati tidak memenuhi kriteria.

COLOMBO:
Sri Lanka meminta bantuan kewangan segera daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan pemberi pinjaman global itu mungkin mempertimbangkannya walaupun pada mulanya enggan, kata seorang pembantu kepada menteri kewangan negara itu hari ini.

Protes tercetus di negara kepulauan itu apabila ia menghadapi krisis kewangan yang dahsyat akibat kesan Covid-19, salah urus kewangan kerajaan dan kenaikan harga bahan api yang mengurangkan rizab asing.

Delegasi diketuai Menteri Kewangan Sri Lanka Ali Sabry memulakan perbincangan rasmi dengan IMF di Washington semalam mengenai satu program yang diharapkan kerajaan akan membantu menambah rizabnya dan menarik pembiayaan sementara untuk menampung import penting seperti bahan api, makanan dan ubat-ubatan.

“Menteri luar memohon Instrumen Pembiayaan Pantas (RFI) bagi meringankan isu rantaian bekalan semasa, namun pada mulanya IMF berpendapat, ia tidak memenuhi kriteria mereka,” kata pembantu Sabry, Shamir Zavahir di Twitter.

“Bagaimanapun, India kemudiannya turut membuat representasi mengenai RFI untuk (Sri Lanka) dan IMF mungkin mempertimbangkan permintaan ini atas keadaan yang unik.”

Sri Lanka memerlukan USD3 bilion dalam beberapa bulan akan datang daripada pelbagai sumber termasuk IMF, Bank Dunia dan India bagi mengelakkan krisis, kata Sabry kepada Reuters awal bulan ini.

Minggu lepas, bank pusat negara itu berkata, ia menangguhkan pembayaran balik beberapa hutang asingnya sementara menunggu penstrukturan semula.

Di ibu kotanya, Colombo, protes menuntut penggulingan Presiden Gotabaya Rajapaksa telah berlarutan selama lebih seminggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.