
Kapal angkasa Shenzhou-13 adalah misi terbaru dalam usaha Beijing menyaingi Amerika Syarikat, selepas mendaratkan rover di Marikh dan menghantar prob ke Bulan.
Rakaman langsung daripada stesen penyiaran kerajaan CCTV menunjukkan kapsul itu mendarat diselubungi awan debu, dengan kru darat menaiki helikopter bergegas mencapai kapsul.
Para angkasawan yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita – Zhai Zhigang, Ye Guangfu dan Wang Yaping – kembali ke Bumi sejurus sebelum 10 pagi waktu Beijing, selepas enam bulan menaiki modul teras Tianhe di stesen angkasa Tiangong.
Kesemuanya melaporkan bahawa mereka berada dalam keadaan fizikal yang baik.
Zhai, yang juga komander misi ini, adalah orang pertama yang keluar daripada kapsul kira-kira 45 minit selepas mendarat, sambil melambai dan senyum ke arah kamera ketika beliau diiringi kru darat.
“Saya bangga dengan negara kita,” kata Zhai dalam temu bual dengan CCTV sejurus selepas meninggalkan kapsul.
Ketiga-tiga mereka pada asalnya dilancarkan dengan Shenzhou-13 dari Gurun Gobi barat laut China pada Oktober lepas, sebagai misi anak kapal kedua daripada empat sepanjang 2021-2022 yang dihantar untuk memasang stesen angkasa tetap pertama negara itu, Tiangong, yang bermaksud “istana syurgawi”.
Wang menjadi wanita China pertama yang melakukan perjalanan angkasa November lepas, memasang peralatan stesen angkasa selama enam jam bersama rakan sekerjanya, Zhai.
Zhai, 55, adalah bekas juruterbang pejuang yang melakukan perjalanan angkasa lepas pertama China pada 2008, manakala Ye adalah seorang juruterbang Tentera Pembebasan Rakyat.
Ketiga-tiga mereka melengkapkan dua perjalanan angkasa lepas dan menjalankan banyak eksperimen saintifik, selain menyediakan peralatan dan menguji teknologi untuk pembinaan pada masa akan datang ketika berada dalam orbit.
Sepanjang beberapa minggu lepas, mereka menghabiskan masa dengan mengemas dan menyediakan kemudahan kabin dan peralatan untuk anak kapal Shenzhou-14 yang dijangka dilancarkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Rekod tempoh misi penerbangan angkasa China sebelum ini dicatat oleh Shenzhou-12 tahun lepas, yang berlangsung selama 92 hari.