Penduduk Shanghai langgar perintah berkurung akan dihukum

Penduduk Shanghai langgar perintah berkurung akan dihukum

Hab kewangan dan komersial itu turut menggesa penduduknya untuk mempertahankan bandar raya itu ketika jumlah kes baharu Covid-19 terus meningkat kepada lebih 25,000 kes.

Sukarelawan yang memakai lilitan lengan berdiri di pintu pagar sebuah komuniti kediaman di Shanghai pada 11 April. (Gambar AP)
SHANGHAI:
Pihak berkuasa Shanghai hari ini mengeluarkan amaran bahawa sesiapa yang didapati melanggar arahan perintah berkurung Covid-19 akan dikenakan tindakan tegas.

Pada masa sama, ia turut menggesa penduduknya untuk mempertahankan bandar raya itu ketika jumlah kes baharu Covid-19 terus meningkat kepada lebih 25,000 kes.

Jabatan polis bandar raya itu mengulangi perintah berkurung yang perlu dipatuhi 25 juta penduduk bandar raya itu juga meminta mereka untuk ‘bersatu hati melawan Covid-19’ … dan bekerjasama demi meraih kemenangan awal.

“Sesiapa yang didapati melanggar perintah ini akan berdepan tindakan tegas mengikut undang-undang dan jika ia menjadi satu kesalahan, mereka akan disiasat mengikut undang-undang,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Hab kewangan dan komersial China itu berdepan tekanan besar dalam usaha mengekang penularan Covid-19 yang terbesar sejak ditemui buat kali pertama di Wuhan pada akhir 2019.

Polis Shanghai turut menghalang kenderaan dari berada di atas jalan kecuali mereka yang terbabit dalam tugas pencegahan epidemik dan membawa pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan.

Polis turut memberi amaran kepada penduduk yang semakin kecewa akibat terkurung di rumah dan sukar untuk mendapatkan bekalan harian supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau memalsukan pas perjalanan atau sijil pelepasan lain.

Shanghai melaporkan 25,141 kes baharu tidak bergejala semalam yang meningkat daripada 22,348 kes sehari sebelumnya.

Pihak berkuasa berkata, kes bergejala turut meningkat kepada 1,189 daripada 994.

Langkah memerangi Covid-19 di bandar raya Shanghai, yang mencerminkan pendekatan ‘sifar-Covid’ kerajaan China dalam menghapuskan rantaian jangkitan itu mendapat pelbagai reaksi pemain ekonomi global.

Penganalisis turut mrngrluarkan amaran bahawa tindakan itu bukan saja menjejaskan pelancongan dan hospitaliti, namun turut memberi impak kepada rantaian bekalan di semua sektor.

Sekurang-kurangnya 11 syarikat Taiwan, yang kebanyakannya menghasilkan komponen elektronik, memaklumkan terpaksa menggantung operasi mereka kerana gangguan daripada kawalan sedemikian.

Bagaimanapun kumpulan media Caixin melaporkan Shanghai adalah satu daripada lapan bandar yang terbabit dalam skim perintis untuk melonggarkan keperluan kuarantin, memetik rancangan kerajaan dalam dokumen yang belum diterbitkan secara rasmi.

Skim itu dijangka bermula Isnin dan akan memendekkan keperluan kuarantin berpusat kepada 10 hari berbanding 14 sebelum ini.

Pihak berkuasa yang terbabit bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk memberi komen mengenai laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.