US umum tambahan bantuan ketenteraan USD100 juta untuk Ukraine

US umum tambahan bantuan ketenteraan USD100 juta untuk Ukraine

Bantuan ini menjadikan jumlah bantuan daripada AS setakat ini lebih USD1.7 bilion sejak Rusia mula menceroboh Ukraine pada 24 Feb.

Bantuan terbaru daripada Amerika Syarikat ini akan disalurkan bagi memenuhi keperluan mendesak Ukraine untuk lebih banyak sistem antiperisai Javelin. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Amerika Syarikat semalam mengumumkan ia akan menghantar USD100 juta dalam bentuk senjata antiperisai tambahan ke Ukraine.

“Susulan delegasi daripada Presiden awal hari ini, saya telah meluluskan pengeluaran segera bantuan keselamatan bernilai sehingga USD100 juta bagi memenuhi keperluan mendesak Ukraine untuk sistem antiperisai tambahan,” kata Setiausaha Negara AS Antony Blinken dalam kenyataan.

Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Pentagon John Kirby berkata, pembiayaan tambahan itu akan digunakan “untuk memenuhi keperluan mendesak Ukraine bagi sistem antiperisai Javelin tambahan.”

Rakyat Ukraine telah menggunakan peluru berpandu lancaran bahu “dengan begitu berkesan untuk mempertahankan negara mereka”, katanya.

Pada 1 April, Pentagon mengumumkan tambahan bantuan ketenteraan sebanyak USD300 juta.

Kirby berkata, bantuan terbaru itu menjadikan jumlah bantuan ketenteraan AS ke Ukraine “lebih USD1.7 bilion sejak permulaan pencerobohan terancang Rusia tanpa provokasi pada 24 Feb,” dan lebih USD2.4 bilion sejak permulaan penggal Presiden AS Joe Biden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.