
BANDARAYA KUWAIT: Perdana Menteri Kuwait, Sabah Al-Khalid Al-Sabah menyerahkan surat peletakan jawatan kerajaannya kepada Putera Mahkota Mishal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, menurut agensi berita Kuna.
Agensi itu bagaimanapun tidak memperincikan sebab peletakan jawatan itu, lapor agensi Anadolu.
Seramai 10 Ahli Parlimen mengusulkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri dan dijadual dibahaskan pada Rabu ini.
Ahli Parlimen mendakwa perdana menteri “tidak mematuhi Perlembagaan, mengganggu kepentingan rakyat dan gagal bekerjasama dengan institusi perundangan”.
Sabah Al-Khaled membentuk kerajaan sebanyak tiga kali dalam tempoh setahun setengah pada Disember 2020, Mac 2021 serta Disember 2021.
Beliau juga mengemukakan peletakan jawatan kerajaannya sebanyak dua kali pada Januari 2021 dan November 2021.