
Hujan lebat selama dua hari melanda kawasan pantai Atlantik di tenggara negeri itu. Lebih banyak hujan diramalkan untuk wilayah itu dalam beberapa hari akan datang.
Mangsa termasuk seorang ibu dan enam anaknya berusia antara dua dan 17 tahun di Ponta Negra yang tertimbus apabila tanah runtuh menghanyutkan rumah mereka, kata pegawai.
Seorang lagi anak wanita tersebut diselamatkan dan kini berada dalam keadaan stabil di hospital.
Presiden Jair Bolsonaro berkata di Facebook, kerajaan persekutuan telah menghantar pesawat tentera untuk membantu usaha menyelamat dan menghantar setiausaha tindak balas bencana negara Alexandre Lucas ke negeri yang diduduki 17.5 juta orang itu.
Kejadian baharu itu berlaku enam minggu selepas banjir kilat dan tanah runtuh mengorbankan 233 orang di bandar Petropolis, ibu kota musim panas abad ke-19 empayar Brazil, juga di negeri Rio.
Kali ini, kawasan yang paling teruk terjejas termasuk bandar pelancongan Paraty, sebuah bandar kolonial pesisir laut yang terkenal dengan jalan batu buntar yang indah dan rumah berwarna-warni.
Enam lagi mangsa, termasuk sekurang-kurangnya dua kanak-kanak, terkorban di bandar Angra dos Reis, di mana pegawai mengisytiharkan “tahap berjaga-jaga maksimum” dan keadaan kecemasan selepas tanah runtuh memusnahkan kawasan kejiranan Monsuaba.
Beberapa mangsa berjaya diselamatkan, manakala lima lagi masih hilang, katanya.
Datuk Bandar Fernando Jordao berkata, pekerja kecemasan sedang memasang lampu limpah agar operasi mencari dan menyelamat dapat diteruskan sepanjang malam jika perlu.
“Para penduduk turut bekerjasama dengan kami dalam pencarian,” katanya pada sidang media.
Jalan-jalan raya ditenggelami banjir pada malam Jumaat di beberapa bandar termasuk Rio, menghanyutkan kenderaan dan mencetuskan tanah runtuh.
Pegawai di Angra berkata, bandar itu menerima sehingga 800mm hujan dalam masa 48 jam di beberapa kawasan, “paras yang tidak pernah dicatatkan sebelum ini”.
Menurut pakar, hujan lebat pada musim hujan di Brazil diburukkan lagi dengan fenomena La Nina – penyejukan berkitar Lautan Pasifik – dan oleh perubahan iklim.
Pada Disember, ribut mengakibatkan 24 orang terkorban di negeri timur laut Bahia dan pada Januari, banjir dan tanah runtuh meragut sekurang-kurangnya 28 nyawa di tenggara Brazil, kebanyakannya di negeri Sao Paulo.